fb fb fb fb fb

Gelombang kedua banjir landa Kampung Teladas, 81 penduduk dipindahkan

Foto BERNAMA

KEMAMAN, 13 Disember - Kampung Teladas, Air Putih di sini mula dilanda banjir gelombang kedua susulan hujan lebat berterusan sejak pagi semalam yang menyebabkan paras air Sungai Teladas meningkat.

Sehingga pukul 3 petang tadi, seramai 81 penduduk daripada 20 keluarga telah dipindahkan ke Pusat Perpindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih sejak kira-kira pukul 10 malam semalam sebagai langkah keselamatan awal.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Air Putih, Mohd Zailani Othman berkata, paras air sungai berkenaan mula meningkat ekoran hujan lebat berterusan sejak petang semalam, sekali gus menyebabkan beberapa rumah berhampiran sungai dinaiki air sehingga paras satu meter.

Menurut beliau, Kampung Teladas sememangnya berisiko dilanda banjir berikutan kedudukannya yang berhampiran sungai, khususnya apabila hujan lebat berlaku di kawasan hulu.

“Kita sentiasa bersedia dan memantau keadaan. Walaupun cuaca kelihatan cerah ketika ini, hujan di kawasan hulu boleh menyebabkan air naik secara mendadak. Dengan bantuan polis dan bomba, penduduk dipindahkan segera ke PPS apabila paras air meningkat,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut bekerjasama rapat dengan agensi keselamatan dan penyelamat bagi memastikan proses pemindahan dapat dilakukan dengan lancar sekiranya keadaan banjir bertambah buruk.

Sementara itu, beberapa penduduk terjejas berkata mereka mengambil keputusan berpindah lebih awal selepas kawasan kediaman mula dinaiki air bagi menjamin keselamatan diri dan keluarga.

Seorang penduduk, Anita Sulong berkata, hujan lebat sejak petang menyebabkan jalan utama tenggelam, mendorong beliau sekeluarga berpindah ke PPS pada awal pagi.

Seorang lagi penduduk, Noriah Mohd Amin berkata, keadaan banjir menyebabkan beliau terpaksa mengalihkan barangan rumah ke tempat lebih tinggi bagi mengelakkan kerosakan.

Penduduk, Roslan Hasan pula memaklumkan paras air di kediamannya meningkat daripada paras buku lali pada petang semalam kepada paras pinggang menjelang tengah hari tadi.

Tinjauan di PPS Dewan Orang Ramai Air Putih mendapati semua penduduk berada dalam keadaan selesa dan kebajikan mereka dipantau oleh pihak berkenaan.

Dalam perkembangan lain, beberapa kampung lain dalam kawasan DUN Air Putih turut terjejas banjir antaranya Kampung Dadong, Tebak, Seberang Tayor, Felda Seberang Tayor dan Kampung Pasir Gajah.

Sementara itu, berdasarkan laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air Sungai Kampung Air Putih merekodkan bacaan 14.39 meter, melepasi paras bahaya dengan trend menaik.

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI