PUTRAJAYA, 30 Ogos – RIUH Merdeka 2025 di Tapak Parkir Monumen Alaf Baru, Putrajaya, disasar menarik lebih daripada 30,000 pengunjung sepanjang 30 jam program itu berlangsung, bermula pukul 12 tengah hari 30 Ogos sehingga pukul 6.00 petang 31 Ogos.
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, penganjuran RIUH Merdeka bukan sekadar platform hiburan, malah menjadi medan mengukuhkan semangat perpaduan dan patriotisme rakyat Malaysia.
“Sasaran kami bagi program ini adalah untuk menarik sekurang-kurangnya 30,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjuran. Dengan tempoh selama 30 jam tanpa henti, kami yakin jumlah itu dapat dicapai.
“Usaha menganjurkan Riuh Merdeka ini bertujuan memastikan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa dan agama, dapat merasakan bahawa sambutan kemerdekaan ini adalah milik bersama", katanya demikian ketika ditemui pemberita selepas pertunjukan bunga api sempena sambutan Ambang Merdeka di sini malam tadi (Sabtu).
Program RIUH MERDEKA bertujuan untuk menyemarakkan semangat patriotisme melalui seni, budaya dan kreativiti serta turut menjadi platform buat penggiat industri kreatif menonjolkan bakat, membuka peluang perniagaan serta merapatkan hubungan komuniti.
Pelbagai pengisian menarik disediakan sepanjang tempoh 30 jam program itu berlangsung, antaranya persembahan artis, bengkel seni, persembahan kebudayaan, tayangan filem tempatan.
Selain hiburan, acara berkenaan juga menghimpunkan lebih 30 jenama pakaian dan produk gaya hidup serta 50 peniaga makanan dan minuman, menjadikannya platform yang menyatukan komuniti melalui kreativiti, perniagaan, dan budaya.
RIUH MERDEKA 2025 bukan sahaja menawarkan hiburan, tetapi juga menjadi simbol perpaduan rakyat Malaysia dalam meraikan kemerdekaan negara.