KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Suasana malam Ambang Merdeka 2025 di Dataran Merdeka berlangsung penuh meriah apabila ribuan warga kota membanjiri kawasan ikonik itu bagi meraikan detik bersejarah menjelang ulang tahun kemerdekaan negara ke-68.
Seawal pukul 7.00 malam, kawasan sekitar Dataran Merdeka mula dipenuhi orang ramai yang hadir bersama keluarga dan rakan-rakan untuk menyemarakkan sambutan penuh warna-warni itu.
Pelbagai persembahan menarik turut memeriahkan pentas utama, termasuk penampilan Hael Husaini, Bella Astillah, Mubarak Majid dan beberapa artis popular lain.
Kemuncak sambutan tepat detik tengah malam bertukar meriah apabila langit Dataran Merdeka diterangi ratusan das bunga api pelbagai warna selama hampir 10 minit, disambut dengan sorakan gemuruh dan laungan “Merdeka” oleh para pengunjung.
Turut hadir memeriahkan sambutan bersejarah itu ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif, yang meluahkan rasa bangga melihat semangat patriotik yang terpancar dalam kalangan warga kota.
Pengunjung yang ditemui RTM turut berkongsi keterujaan dan rasa bangga menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ini.
Salah seorang pengunjung, Neo Wen Keong berkata sambutan bukan sebagai acara tahunan, tetapi juga lambang perpaduan dan kecintaan terhadap negara.
“Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-68. Semoga semua dalam keadaan sihat dan harmoni,” ujarnya.
Bagi Nurul Syazni Azharuddin, sambutan ini adalah simbol perpaduan rakyat.
“Semoga kita semua rakyat Malaysia terus hidup dalam aman damai... Hidup Malaysia MADANI,” ujarnya.
Sementara itu, penuntut kolej, Aliff Haiqal Abd Halim, yang hadir bersama rakan-rakannya, menegaskan hubungan harmoni berbilang kaum yang telah terjalin sekian lama perlu dipertahankan demi tanah air tercinta.
Sambutan Ambang Merdeka di Dataran Merdeka malam tadi sekali lagi membuktikan bahawa semangat patriotisme dan perpaduan rakyat Malaysia terus utuh, seiring dengan aspirasi negara untuk terus melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan.