BANDA HILIR, 31 Ogos – Persiaran Merdeka, Banda Hilir, malam tadi dibanjiri kira-kira 50,000 pengunjung yang hadir meraikan Sambutan Ambang Merdeka Peringkat Negeri Melaka sempena Hari Kebangsaan ke-68.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang turut disertai barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Ketibaan Datuk Seri Ab Rauf menjadi tumpuan apabila beliau hadir menaiki motosikal berkuasa tinggi, diiringi konvoi Kembara Aku Kasih Malaysia yang menghimpunkan 68 peserta dari seluruh negara.
Konvoi tersebut diketuai Fast Bike Club dengan kerjasama Agensi Kenegaraan Malaysia, menambah semarak sambutan menjelang detik kemerdekaan.
Pada malam bersejarah itu, Datuk Seri Ab Rauf turut menyampaikan amanat kemerdekaan sebelum detik kiraan merdeka dan persembahan pertunjukan bunga api berwarna-warni menerangi langit Banda Hilir.
Suasana semakin meriah dengan pelbagai persembahan pentas yang menampilkan artis popular seperti Dr Soo Wincci, Floor 88, Ameng, dan Amy Search, sekali gus menghidupkan malam sambutan penuh semangat patriotik dan perpaduan.