fb fb fb fb fb

Lebih 20,000 meriahkan Sambutan Ambang Merdeka di Perak

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama barisan Exco Kerajaan negeri pada Sambutan Ambang Merdeka / Foto Facebook Tourism Negeri Perak

IPOH 31 Ogos - Lebih 20,000 orang membanjiri Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru, malam tadi sempena sambutan Ambang Merdeka peringkat negeri Perak yang berlangsung penuh meriah.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama barisan Exco Kerajaan Negeri.

Pelbagai pengisian menarik seperti persembahan artis tempatan, pancaragam, tarian dan pertunjukan bunga api mewarnai acara tersebut.

Dalam ucapannya Menteri Besar, Datuk Seri Saarani berkata projek strategik seperti Automotive High-Tech Valley, Lumut Maritime Industrial City, Kerian Integrated Green Industrial Park dan Halal Industrial Park sedang digerakkan di Perak.

Semua inisiatif tersebut dilaksanakan melalui gagasan Perak Sejahtera 2030 yang berteraskan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar dan kemakmuran negeri.

“Namun, kejayaan ini hanya akan berkekalan sekiranya kita mengekalkan perpaduan dan semangat merdeka dalam kalangan rakyat,” katanya.

Pada majlis sama, beliau turut melancarkan Perak Pages, inisiatif baharu Kerajaan Negeri melalui Tourism Perak sebagai persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Direktori digital dan fizikal dwibahasa itu berfungsi sebagai platform promosi pakej pelancongan, maklumat penginapan serta informasi terkini sektor pelancongan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD