SERI MENANTI, 31 Ogos - Lebih 3,000 orang hadir memeriahkan Sambutan Ambang Merdeka bersempena Kembara Merdeka Akar Umbi 2.0 Negeri Sembilan 2025 yang berlangsung meriah di sini, malam tadi.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata program tersebut disertai hampir 400 peserta, terdiri daripada penunggang motosikal berkuasa besar dan kenderaan pengiring, yang menjelajah ke tujuh kawasan Parlimen di seluruh negeri.
“Ini merupakan program libat urus antara kerajaan negeri dan rakyat, manifestasi semangat patriotik melalui konvoi membawa Jalur Gemilang merentasi seluruh negeri dengan konsep ‘pass baton’,” katanya ketika berucap pada majlis penutup kembara itu.
Turut menyerikan acara, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang menyertai jelajah dari Jempol ke Simpang Pertang.
Sementara itu, Exco Kanan Kerajaan Negeri, Datuk Seri Jalaludin Alias, berkata kembara berkenaan bukan sahaja menjadi platform menyemarakkan semangat kemerdekaan, malah berjaya menghimpunkan masyarakat berbilang kaum sebagai lambang perpaduan.
“Sempena kemerdekaan ke-68 ini, kita telah matang dan jauh ke hadapan. Kita mesti pastikan masyarakat memainkan peranan untuk memastikan Negeri Sembilan kekal stabil, kuat dan sejahtera demi kesejahteraan semua,” ujarnya.