fb fb fb fb fb

Ambang Merdeka Terengganu meriah

Foto Facebook

KUALA TERENGGANU, 31 Ogos – Suasana penuh semangat patriotik mewarnai sambutan Ambang Merdeka peringkat negeri Terengganu yang berlangsung meriah di perkarangan mercu tanda ikonik negeri ini, Jambatan Angkat Kuala Terengganu, malam tadi.

Acara yang bermula dengan persembahan kebudayaan itu berjaya menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai lapisan bagi meraikan detik bersejarah menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-68.

Kemuncak sambutan menyaksikan perarakan masuk anggota Rejimen 512 Askar Wataniah membawa Jalur Gemilang, sebelum penyerahan rasmi bendera kepada Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (PSTLDM), diiringi alunan lagu Negaraku yang bergema megah.

Sambutan yang sarat dengan semangat patriotisme itu turut diserikan dengan pertunjukan bunga api berwarna-warni, memukau ribuan pengunjung yang membanjiri kawasan sekitar jambatan angkat.

Majlis berprestij itu turut dihadiri oleh barisan kepimpinan negeri bersama pemegang taruh daripada pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan rakyat Terengganu dalam menyambut ulang tahun kemerdekaan negara.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD