fb fb fb fb fb

Pusat Sokongan Sosial Setempat Transit pertama Malaysia mula beroperasi

Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri / Foto RTM

RANTAU PANJANG, 20 Februari - Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Transit pertama di Malaysia yang merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mula beroperasi di Rantau Panjang, Kelantan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, PSSS Transit ditubuhkan bagi membantu menangani isu psikososial dalam masyarakat khususnya golongan sasar di bawah KPWKM.

Nancy berkata, pusat berkenaan turut menyediakan perkhidmatan bantuan psikososial yang holistik dengan sesi bimbingan kaunseling, sokongan emosi, mengurangkan tekanan melampau, dan intervensi awal sebelum dirujuk kepada jabatan atau agensi kerajaan yang berkaitan.

Katanya, inisiatif ini telah mula dijalankan sejak 2021 dengan menawarkan perkhidmatan secara bergerak dengan fokusnya di kawasan tumpuan ramai serta pedalaman.

Ujarnya, sehingga kini seramai 44,783 orang telah mendapatkan khidmat bantuan psikososial dengan PSSS di seluruh negara. 

"PSSS Transit ini merupakan satu daripada projek yang julung kali diadakan di Malaysia kerana selama ini kita ada PSSS yang bergerak .

"Jadi adanya PSSS ini ianya akan membantu kerana keperluan di bawah isu sosial Kementerian kita memang banyak libatkan kanak kanak mereka yang didera dengan penderaan ada juga yang memerlukan tempat perlindungan sementara", kata Nancy pada sidang media di Majlis Perasmian Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Transit Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di  Perumahan Kastam, di sini hari ini.

Datuk Seri Nancy berkata, PSSS Transit tersebut dilengkapi dengan fasiliti lengkap seperti pejabat pentadbiran, surau, pusat aktiviti serta blok penginapan yang dilengkapi dengan katil, bilik mencuci pakaian, ruang istirehat dan pantri.

Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Nancy berkata, kerajaan telah membincangkan isu penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak menerusi mesyuarat Majlis Sosial Negara.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan melibatkan beberapa kementerian antaranya Kementerian Komunikasi dan Digital serta KPWKM.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD