JAKARTA, 20 Februari- Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu merupakan titik penting dalam industri media, sekali gus menjadi panduan kepada pengamal media.
Presiden Ikatan Setiawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Malaysia Ashwad Ismail berkata, walaupun kod etika kewartawan bukan perkara baharu di peringkat global, namun dokumen rasmi berkaitan kod etika perlu diperbaharui dalam memperkasakan landskap media.
"Kod etika merupakan perkara yang penting untuk dijadikan sebagai punya garis panduan dalam kita menjalankan tugas sebagai seorang wartawan ataupun pengamal media.
"Kod etika ini bukan satu perkara baru di peringkat global, tetapi untuk Malaysia ia adalah sebagai refresher (perkara baharu) yang memperingatkan kita semula tentang kenapa perlunya kod etika wartawan ini.
"Ia ibarat dokumen yang sentiasa hidup dan (perlu) diperbaharui dari semasa ke semasa mengikut keperluan seiring dengan perkembangan teknologi," katanya ketika ditemui sempena Program Jejak Serumpun ISWAMI di sini hari ini.
Terdahulu, Kementerian Komunikasi melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu yang menggantikan Kod Etika selepas 35 tahun kewujudan dokumen itu pada 1989.
Kod Etika Wartawan Malaysia mengandungi lapan etika utama iaitu wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk, hendaklah telus dan berintegriti serta berlaku adil dalam menyampaikan informasi.