MELAKA, 20 Februari- Program Arkib Komuniti yang dilaksanakan Arkib Negara Malaysia (ANM) dapat perkasakan peranan masyarakat dalam memelihara khazanah warisan negara kata Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang.
Menerusi program tersebut, beliau menyeru persatuan komuniti atau individu untuk menyumbang bahan sejarah sebelum Merdeka untuk dijadikan rujukan pada masa akan datang.
Program itu pernah dilaksanakan beberapa tahun sebelum ini, namun tidak diteruskan berikutan kekangan peruntukan.
Beliau turut menyeru kerajaan negeri untuk membantu usaha tersebut bagi memudahkan urusan pengumpulan bahan sejarah.
"Itu hasrat baru kita, sebab banyak peristiwa bersejarah di peringkat komuniti sebelum merdeka contohnya masa ditahan britsh dan sebagainya masih tidak dapat dikumpul dengan begitu banyaK.
"Sebab itu kita ingin mengadakan program mengarkibkan masyarakat kita dalam erti kata kita akan berusaha sedaya upaya untuk mengumpul kembali sejarah daripada tokoh-tokoh individu daripada komuniti untuk dibawa kepada arkib yg telah disimpan supaya menjadi bahan rujukan di masa akan datang," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Wacana Ilmu sempena peristiwa Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Tanah Melayu di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di sini.
Timbalannya Senator K Saraswathy dan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem turut hadir dalam program itu.
Dalam pada itu, ANM juga sentiasa berusaha membawa pulang bahan-bahan berkaitan sejarah negara yang berada di luar negara agar ia boleh disimpan sebagai khazanah negara.