fb fb fb fb fb

Pusat rujukan agama Islam bakal ditubuh, perbincangan bakal diadakan - Dr. Na'im

Foto RTM

PUTRAJAYA, 7 Julai- Penubuhan pusat rujukan agama Islam diyakini dapat memusatkan penyelarasan segala isu berkaitan hal ehwal agama secara lebih bersepadu.

Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar menyokong penuh titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung penubuhan pusat berkenaan.

"Saya rasa itu penting. Sebab itu, saya akan bincang dengan pihak JAKIM. JAKIM adalah satu agensi agama di peringkat Persekutuan yang akan menyelaras semua isu-isu yang berkaitan agama."

"Jadi, memandangkan Tuanku sudah minta untuk mewujudkan satu pusat, maka kita akan berbincang bagaimana untuk kita realisasikan perkara itu," kata Na'im kepada pemberita selepas program sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1446H/2024.

Sementara itu, Datuk Dr. Mohd Nai'm turut menyembah maklum titah Sultan Ibrahim mengenai keperluan langkah penguatkuasaan yang lebih menyeluruh ke atas pihak yang menyebarkan ajaran sesat.

Usaha itu bagi memastikan tiada pihak yang sewenang-wenangnya menjalankan aktiviti seumpama itu, selain tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang.

Beliau akan menghadap Sultan Ibrahim bagi mendapatkan perincian berhubung penubuhan jawatankuasa khas (task force) untuk tujuan tersebut.

"Duli Tuanku merasakan sudah sampai masanya untuk pihak penguat kuasa agama serta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperketat langkah pencegahan."

"Jadi, saya akan mengarahkan pihak JAKIM untuk mengadakan perbincangan dengan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri khususnya di bahagian penguatkuasaan untuk melihat dan bertindak secara bersama untuk menangani isu berkaitan dengan penyebaran ajaran sesat ni," tambah Dr. Na'im.

Dalam pada itu, titah Sultan Ibrahim dalam menyeru rakyat untuk hormat-menghormati antara satu sama lain, adalah bertepatan dengan prinsip dan nilai ajaran Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Nai'm Mokhtar berkata, titah Tuanku Sultan itu wajar disahut sebagai usaha meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum, bangsa dan agama.

Selain itu, baginda menegaskan bahawa ia turut meliputi konteks menjaga adab di platform media sosial.

"Jadi, saya sokong sangat apa titah Duli Tuanku itu dalam mengajak seluruh rakyat khususnya pengguna-pengguna media sosial untuk kita jaga akhlak kita, jaga budi pekerti kita, jaga bahasa kita. Media sosial ini banyak manfaat yang kita boleh gunakan dalam memupuk kesepaduan antara masyarakat," kata Dr. Na'im lagi.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM