fb fb fb fb fb

Fahmi ajak semua rakyat junjung titah Agong

Foto Facebook Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 7 Julai- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengenai adab menggunakan media sosial, bersempena dengan sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M.

Fahmi menerusi satu hantaran di Facebook berkata, antara titah Seri Paduka Baginda ialah mengingatkan semua rakyat agar tidak menjadikan media sosial tempat berbalah atau bertengkar.

Selain itu, Sultan Ibrahim juga bertitah supaya rakyat tidak membuka aib sesiapa atau menularkan perkara memalukan kerana akan menjadi punca perpecahan dan persengketaan.

"Seri Paduka Baginda turut mengingatkan rakyat agar tidak bersikap keterlaluan atau ekstrem terutama dalam isu yang berkaitan dengan kaum dan agama," katanya.

Fahmi menyeru agar semua rakyat menjunjung titah Seri Paduka Baginda itu kerana perpecahan tidak akan memenangkan sesiapa.

"Semoga dengan kedatangan tahun baharu 1446H, Allah SWT mengurniakan keimanan dan ketakwaan kepada kita semua," katanya lagi menerusi hantaran itu.

Sementara itu, Fahmi berkata kerajaan mengangkat tema 'Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI' sebagai asas penghayatan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan tahun ini.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI