fb fb fb fb fb

Pusat Rehabilitasi PERKESO bakal dibina di Pulau Pinang

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong

AIR HITAM, 2 November - Sebuah Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bakal dibina di Pulau Pinang, selepas melihat keperluannya di negeri itu.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata kos, lokasi, dan aspek pembinaannya akan diperincikan kemudian.

Ia berikutan Pulau Pinang merupakan negeri pelabuhan dan mempunyai sektor perindustrian dan pembuatan yang pesat.

Jelasnya, lebih 70 peratus pesakit yang pernah mendapatkan rawatan di Pusat Rehabilitasi PERKESO sebelum ini, mampu kembali semula ke alam pekerjaan.

"Dari segi kos pembinaan, lokasi dan perkara-perkara lain yang berkaitan, kita akan perincikan kemudian. Setelah perincian dibuat, saya akan membuat pengumuman dari masa ke masa.

"Secara asasnya, kita melihat bahawa pusat rehabilitasi ini merupakan satu kemudahan yang sangat penting. Lebih daripada 70 peratus pesakit yang menerima rawatan di pusat rehabilitasi kita mampu kembali ke alam pekerjaan.

"Ini menunjukkan bahawa mereka boleh pulih semula dengan baik.Bagi sebahagian yang lain, bukan bermaksud mereka tidak pulih, tetapi mungkin mereka memilih untuk tidak kembali bekerja atas sebab-sebab tertentu," katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Deepavali DAP di sini hari ini.

Katanya, meskipun kadar pemulihan keseluruhan adalah sangat tinggi dan memberikan semangat baharu kepada pesakit.

"Oleh itu, kita berhasrat untuk memperluaskan kemudahan ini. Pusat rehabilitasi ini juga boleh dianggap sebagai satu kemudahan pelengkap (complement) kepada sistem sokongan kesihatan dan pemulihan negara," jelasnya.

Setakat ini, 3 pusat rehabilitasi PERKESO telah dibina di negeri Melaka, Perak dan Terengganu.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN