WANG KELIAN, 2 November - Seluruh lapisan masyarakat diseru untuk terlibat secara aktif dalam usaha-usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar bagi membolehkan budaya sayangi alam sekitar dapat terus disebar luas.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, antara agensi yang aktif melaksanakan pelbagai program pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.
Langkah ini dapat menambah baik ekosistem dan biodiversiti negara demi menjamin masa depan yang lebih baik untuk generasi masa hadapan.
"Saya berkeyakinan tinggi, Jabatan Perhutanan akan terus cemerlang dalam menggalas tanggungjawab untuk mengurus khazanah hutan di Perlis. Ia selari dengan visi jabatan, iaitu menjadi peneraju terunggul dalam pengurusan hutan tropika secara lestari," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Penutupan Program 'The International Northernmost Bird Race Wang Kelian 2025' yang berlangsung mulai 30 Oktober hingga 2 November 2025 di Arked Niaga Wang Kelian.
Jabatan Perhutanan Negeri Perlis melalui Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) telah melaksanakan inventori burung di sepanjang Banjaran Nakawan.
Berdasarkan inventori ini, terdapat 197 spesies burung telah direkodkan di sepanjang banjaran Nakawan, manakala kawasan Wang Kelian sebanyak 170 spesies.
Penganjuran program seumpama ini membolehkan rekod-rekod burung di banjaran Nakawan dan Wang Kelian dapat dikemaskini dari semasa ke semasa.
Pada masa yang sama dapat meningkatkan kefahaman dan kesedaran awam tentang peranan kepelbagaian spesies dalam sesuatu ekosistem.