fb fb fb fb fb

Lebih 300 peserta meriahkan ASEAN ART Festival 2025

FOTO RTM

BANGI, 2 November – Lebih 300 peserta dari dalam dan luar ASEAN memeriahkan ASEAN Art Festival 2025 yang berlangsung selama lima hari di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dengan tema “Kepelbagaian dalam Irama dan Warisan” (Diversity in Rhythm and Heritage).

Festival anjuran Pusat Kebudayaan Universiti UKM, Artisukma UKM, Againstar Sdn. Bhd. dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu menjadi platform memperkukuh hubungan budaya serantau melalui pertukaran idea, kolaborasi kreatif serta persembahan rentas negara.

Edisi kali ini menghimpunkan penyertaan daripada Thailand, Kemboja, Vietnam, Indonesia, Brunei Darussalam, Filipina dan Malaysia, manakala China tampil sebagai jemputan khas.

Turut menyertai festival ialah delegasi antarabangsa dari Kazakhstan, Kanada, India, Perancis, Bangladesh, Jepun dan Korea Selatan.

Menurut Pemangku Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UKM, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman, festival berkenaan mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuh diplomasi budaya serta memartabatkan seni sebagai wadah penyatuan serantau.

“ASEAN Art Festival 2025 bukan sekadar pentas persembahan, tetapi simbol kebersamaan yang menjalin harmoni antara pelbagai bangsa dan budaya. Tema ‘Diversity in Rhythm and Heritage’ menggambarkan kekuatan budaya yang menyatukan kita melalui ritma, warisan dan kreativiti,” katanya.

Pelbagai aktiviti lapangan turut diadakan sepanjang festival, termasuk lawatan ke Perkampungan Budaya Mah Meri dan Muzium Negara,

Selain itu,bengkel tarian ASEAN serta Pertandingan Nyanyian Lagu Melayu ASEAN turut diadakan bagi mengeratkan interaksi sosial dan kefahaman budaya dalam kalangan peserta.

Penganjuran program tersebut bukan sahaja menyerlahkan semangat perpaduan dan kreativiti tanpa batas, malah mengukuhkan kedudukan Malaysia, khususnya UKM, sebagai hab seni dan budaya serantau yang menghubungkan bakat serta warisan dunia ke pentas antarabangsa.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD