MEKAH, 16 Mei- Pusat Rawatan Tabung Haji (TH) di Madinah telah mendapat permit beroperasi untuk tahun ketiga berturut-turut oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi, sekali gus menjadi pusat rawatan jemaah haji luar negara yang pertama beroperasi di negara tersebut.
Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kebenaran beroperasi itu merupakan pengiktirafan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan TH yang sentiasa komited menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada jemaah Malaysia.
“Ia diberikan setelah pusat rawatan kita melalui pemeriksaan yang ketat, teliti dan rapi oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi yang datang bukan sekali, tetapi berkali-kali untuk melihat persiapan, persediaan pusat rawatan ini.
“Mereka melihat bukan sahaja dari segi aspek peralatan, tempat yang sesuai, ruang-ruang yang ada, prosedur-prosedur kerja yang telah disediakan dan juga dari segi kepakaran, kelulusan doktor-doktor dan anggota perubatan”, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) di Hotel Abraj Al Janadriyah, Mekah.
Dalam pada itu, Pusat Rawatan Mekah pula ketika ini sedang beroperasi menggunakan permit sementara.
Kelulusan pengoperasian dijangka diterima dalam masa terdekat selepas melalui proses dokumentasi dan lawatan pihak Kementerian Kesihatan Arab Saudi.