fb fb fb fb fb

DBKL dicadang tubuh pasukan khas pantau pokok teduhan

Dr Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR, 16 Mei- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa mencadangkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menubuhkan satu pasukan khas dalam waktu terdekat untuk memantau secara terperinci dan menyelenggara pokok-pokok teduhan sekitar ibu negara.

Beliau menyifatkan cadangan itu sebahagian daripada rancangan jangka pendek untuk menangani insiden pokok tumbang.

Penubuhan pasukan itu akan melibatkan penyertaan pemegang taruh seperti badan bukan kerajaan, arboris (pakar tumbuhan berkayu) dan pakar dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

"Kita juga tengok dari negara-negara lain yang saya dapat tahu bahawa mereka melaksanakan juga dengan sistem yang lebih terperinci dan berterusan untuk tanaman pokok sekitar ibu kota ini.

"Yang itu kita nak tengok juga. Jadi itu dalam masa terdekat kita akan buat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat berhubung kolam tadahan banjir (KTB) Kampung Bohol di ibu negara.

Sementara itu bagi rancangan jangka panjang pula akan melibatkan mengenal pasti pokok yang berisiko tumbang untuk ditebang serta-merta.

Berkenaan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu setiap pohon terpaksa ditebang dan digantikan dengan 100 pokok baharu, Zaliha akan merujuk perkara itu kepada pakar tumbuhan bagi mengenal pasti jenis pokok, lokasi serta jumlah yang sesuai untuk ditanam.

 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI