PUTRAJAYA, 16 Mei- Semua penyedia platform media sosial perlu menghormati pendirian Malaysia berhubung termasuk pelaporan mengenai sebarang kenyataan oleh anggota pentadbiran seperti Perdana Menteri.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berharap tindakan seumpama itu tidak berulang di mana-mana platform media sosial lain pada masa depan.
Perkara itu disebabkan tindakan syarikat penyedia platform Facebook, Meta; berkaitan artikel pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin Hamas baru-baru ini.
"Apapun pada Jun nanti, insya- Allah saya akan mengadakan pertemuan dengan semua platform untuk memberi penegasan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat dengan kepimpinan yang ada, kami mempunyai pendirian yang sangat jelas dalam beberapa perkara.
"Pihak-pihak platform media sosial perlu menghormati termasuklah pelaporan mengenai sebarang kenyataan yang dibuat oleh anggota pentadbiran termasuk Perdana Menteri," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII, di sini.
Terdahulu, media melaporkan Meta kembali memuat naik laporan berita pertemuan Anwar dengan pemimpin Hamas di platform media sosialnya yang diturunkan sejak kelmarin.
Syarikat itu dilaporkan berkata berlaku kesilapan dalam tindakan berkenaan selepas kerajaan Malaysia mahu mengenakan tindakan tegas terhadap Meta dan pengendali media sosial lain sekiranya mereka terus menyekat kandungan pro-Palestin di platform masing-masing.