MEKAH, 16 Mei- Jemaah dan petugas haji Malaysia berisiko terdedah kepada masalah kesihatan berikutan suhu panas antara 35 hingga 45 darjah celcius di tanah suci ketika ini.
Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, situasi itu jelas merupakan antara cabaran besar dihadapi semua pihak.
"Ini satu cuaca yang panas ditambah dengan keadaan imuniti yang kering menyebabkan kadang-kala para jemaah kita tidak sedar bahawa mereka dalam keadaan dehidrasi atau dalam keadaan yang lebih teruk menghadapi strok haba.
"Saya mengharapkan para jemaah haji jangan terdedah terlalu lama dalam keadaan cuaca yang panas", katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) di Hotel Abraj Al Janadriyah, Mekah.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati jemaah yang telah berada di Mekah untuk menjaga keselamatan diri.
Ia berikutan jarak penginapan di Mekah dari Masjidil Haram lebih jauh berbanding di Madinah.