MEKAH, 10 Jun - Pusat Rawatan Tabung Haji (TH) Mekah berjaya memperoleh permit operasi daripada kerajaan Arab Saudi, seterusnya mengikut jejak Pusat operasi Madinah dan operasi ambulans, yang menerima permit lebih awal.
Pengarah Operasi Mekah Bahagian Perubatan, Dr Amin Sah Ahmad berkata, pusat rawatan yang mula beroperasi pada 26 Mei mempunyai pelbagai kemudahan setara dengan hospital pakar bertaraf sederhana.
Antara yang terdapat di pusat rawatan berkenaan adalah 194 katil, wad isolasi selain kehadiran 12 pakar kesihatan dan kecemasan.
Pusat rawatan itu juga tidak mempunyai masalah daripada segi bekalan ubat-ubatan.
"Ubat kita ini spektrumnya seperti dari hujung rambut sampli hujung kaki, kalau ada berlaku pengurangan kita akan beli di sini atau bawa dari Malaysia, tiada masalah, setakat ini, klinik kesihatan pun, hospital juga kita akan sediakan," kata Dr Amin di sini.
(Dr Amin ketika ditemui media di Mekah)
Ketika ini, pusat rawatan itu telah menerima pesakit dalam kalangan jemaah haji meliputi pelbagai jenis penyakit dan mereka berusia 50 tahun ke atas.
Pihaknya akan mempertingkatkan usaha memberi pendidikan kepada jemaah supaya mengamalkan meminum air secara kerap, terutama menjelang operasi Masya’ir di Arafah, Mudzalifah dan Mina nanti.
Jemaah yang terlantar pula akan dibantu mengerjakan ibadah haji termasuk ketika wuquf di Arafah.