PUTRAJAYA, 14 Oktober -Pusat peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) Sekolah Agama Negeri Tambunan, Sabah akan dipindahkan sementara ke KAFA Maahad Al-Kautsar, bermula pada tarikh peperiksaan yang ditetapkan sehingga selesai.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, Pemindahan itu dilaksanakan bagi menjamin keselamatan dan keselesaan calon-calon yang terlibat serta memastikan peperiksaan dapat dijalankan dengan lancar susulan insiden kebakaran yang berlaku di sekolah tersebut pada Ahad lalu.
JAKIM turut menzahirkan rasa simpati dan keprihatinan kepada warga sekolah serta mendoakan urusan pemulihan dipermudahkan serta peperiksaan dapat dilaksanakan dalam keadaan yang selamat, teratur dan penuh keberkatan.
"Kerajaan MADANI melalui JAKIM, turut menghargai peranan pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta semua pihak yang terlibat atas tindakan pantas dan keprihatinan dalam mengurus situasi itu dengan penuh tanggungjawab" katanya menerusi satu kenyataan.
Sementara itu, persiapan bagi peperiksaan Ujian Penilaian Kelas al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) yang dijadualkan akan diberi perhatian khusus oleh JAKIM.
Sekolah Agama Negeri (SAN) Tambunan mempunyai seramai 179 orang murid tahun 1 hingga 6, serta 11 orang tenaga pengajar. Sekolah itu turut berperanan sebagai Pusat Peperiksaan UPKK yang dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 20 November ini.