fb fb fb fb fb

Bonnie bergaya raih gelaran dunia keempat berturut-turut di Kaherah

Bonnie Bunyau Gustin menggayakan pingat emas yang dimenanginya di Kejohanan Para Powerlifting Dunia 2025 di Kaherah

KUALA LUMPUR, 14 Oktober - Atlet powerlifting para negara, Bonnie Bunyau Gustin sekali lagi melakar sejarah gemilang apabila muncul juara dunia empat kali berturut-turut selepas menawan Kejohanan Para Powerlifting Dunia 2025 di Kaherah, semalam.

Atlet berusia 26 tahun itu terus membuktikan dominasinya di pentas dunia apabila menjuarai kategori lelaki bawah 72 kilogram dengan angkatan terbaik 230 kilogram, mengatasi pesaing utama dari China, Zhang Pingkang dan wakil Britain, Mark Swan.

Kemenangan itu disusuli kejayaan berganda apabila Bonnie turut mengungguli kategori jumlah angkatan keseluruhan dengan catatan 672 kilogram, jauh meninggalkan Amir Jafari Arangeh dari Iran (581kg) dan Swan (427kg), sekali gus menghadiahkan dua pingat emas buat Malaysia.

Kejohanan edisi kali ini menghimpunkan penyertaan atlet dari 70 negara yang berentap bagi memburu pingat serta kelayakan ke Sukan Paralimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Menerusi kejayaan tersebut, badang kerdil dari Sarawak itu kini mengumpul empat gelaran dunia, dua kejuaraan Paralimpik, satu emas Komanwel, tiga emas Piala Dunia, dan satu emas Para Asia.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE