BESERI, 14 Oktober - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Perlis hari ini menandatangani perjanjian jual beli komoditi jagung manis bersama dua peserta Ladang Kontrak bagi menjamin pasaran hasil pertanian serta meningkatkan pendapatan pengeluar.
Perjanjian tersebut melibatkan bekalan sebanyak 16,100 tongkol jagung manis varieti 927 dengan nilai keseluruhan melebihi RM12,000.
Menurut Pengarah FAMA Negeri Perlis, Mohd Anzara Azizan, inisiatif itu bukan sahaja membantu menjamin pasaran hasil tempatan, malah memperkukuh pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran berkualiti tinggi yang menepati kehendak pasaran.
Katanya, usaha itu turut menjadi platform mempertingkatkan pemindahan teknologi sepanjang rantaian bekalan, khususnya bagi sektor pertanian di Perlis.
“Sehingga Oktober 2025 ini, sebanyak 35 'forward agreement' telah dilaksanakan oleh pihak FAMA Negeri Perlis selain menjamin pasaran sedia ada, FAMA juga menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak di peringkat negeri dan persekutuan. Sebagai contoh, kita turut bekerjasama dengan pasar raya besar di Kuala Lumpur," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Komoditi Jagung Manis Antara Peserta Ladang Kontrak KPPM dan FAMA Negeri Perlis, yang diadakan di Ladang Tanaman Jagung Manis, Batu 9, Beseri.
Sehingga Oktober lalu, 33 usahawan Ladang Kontrak telah terlibat dalam perjanjian jual beli komoditi seperti Mangga Perlis Sunshine, Harumanis dan buah-buahan bermusim, dengan jumlah keseluruhan 51.5 metrik tan bernilai RM169,950.