fb fb fb fb fb

Pusat Pendidikan Berterusan UM, tawar peluang kedua untuk lepasan SPM

CYBERJAYA, 21 Oktober- Dengan hanya tiga kredit dalam SPM atau memiliki sijil APEL, pelajar layak memohon kemasukan ke Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UM).

Menurut Dekan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Shahrul Mizan Ismail, pusat pendidikan itu turut menawarkan Biasiswa Dekan yang menilai pelbagai aspek kecerdasan termasuk bahasa dan komunikasi interpersonal.

"Pelajar yang cerdas dalam bidang kecerdasan masing-masing, kalau mengikut Teori Gardner, ada lapan teori kecerdasan bahasa, muzik, kinaesthetic intra, komunikasi interpersonal dan kita akan tengok dokumen sokongan yang dibawa oleh calon dan berdasarkan itu, kita akan tentukan dia layak untuk diberikan biasiswa ataupun tidak", katanya.

(Dekan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya,
Profesor Madya Dr Shahrul Mizan Ismail)

Selain biasiswa, pelbagai bantuan kewangan disediakan termasuk bantuan yuran penginapan.

"Kemasukan ini tidak melalui Unit Pusat Universiti (UPU), bermaksud yurannya tidak bersubsidi, tetapi kita mempunyai banyak bantuan peluang pembiayaan pendidikan yang disediakan dan sebenarnya yuran kita walaupun tiada disubsidi, kita tidaklah sampai ke tahap yuran universiti ataupun kolej swasta untuk program diploma, boleh dibandingkanlah", katanya ketika ditemui RTM pada Majlis Hari terbuka "Jom masuk UM" di Cyberjaya.

Pusat Pendidikan Berterusan UM menawarkan pengajian peringkat Diploma, Diploma Eksekutif dan Sijil Profesional.

Permohonan boleh dibuat menerusi https://umcced.edu.my/ atau pemohon boleh ke Pusat Pendidikan Berterusan UM.

Permohonan bagi ambilan kedua dibuka sehingga 20 November ini.

Media Baharu