fb fb fb fb fb

Pusat Akuatik Arena Larkin dibuka semula hari ini

Pusat Akuatik Arena Larkin

JOHOR BAHRU, 1 Januari - Pusat Akuatik Arena Larkin kembali beroperasi hari ini selepas selesai kerja naik taraf dan penggantian lantai kolam pada November lalu.

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah, berkata fasiliti ini sebelum ini ditutup pada Ogos 2024 susulan pencemaran lantai kolam dengan kesan karat dan bakteria e-coli pada Julai lalu.

"Pemantauan secara berterusan dan rawak oleh Jabatan Kesihatan sepanjang Disember menunjukkan keputusan bacaan bakteria dan klorin positif. Ini mengesahkan fasiliti ini selamat untuk kegunaan orang awam," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Pusat ini akan beroperasi setiap hari kecuali Rabu yang dikhaskan untuk pembersihan menyeluruh.

Waktu operasi bermula 8 pagi hingga 11 malam untuk Isnin, Selasa, dan Khamis.

Manakala Jumaat hingga Ahad operasi tamat pada pukul 9 malam.

Kadar bayaran pula ditetapkan pada harga berpatutan, dengan kanak-kanak RM4 hingga RM5 dan dewasa RM8 hingga RM10 mengikut ketetapan hari.

"Kami berharap orang awam mematuhi garis panduan dan menjaga kebersihan untuk memastikan tiada pencemaran atau isu kesihatan berulang," tambah beliau.

GRACE AISYAH KEDAYAN