LANGKAWI, 1 Januari - Langkawi menyasarkan 3.5 juta pelancong pada tahun 2025 dengan 132 acara tersenarai dalam Kalendar Acara Langkawi 2025.
Ini selaras Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 dan persediaan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Haslina Abdul Hamid, berkata program itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, swasta, dan badan bukan kerajaan untuk merancakkan industri pelancongan.
"Dengan kerjasama agensi peringkat negeri, kita menyahut saranan Perdana Menteri untuk memastikan Langkawi terus menjadi destinasi pelancongan utama.
"LADA menyediakan pelbagai acara peringkat tempatan dan antarabangsa, sehingga kini 132 program telah disenaraikan," kata Haslina pada Majlis Pelancaran Kalendar Acara Langkawi 2025 di Dataran MAHA, Kuah di sini malam Rabu.
Tambah beliau, enam kluster utama diberi fokus, termasuk seni, budaya, sukan, promosi, komuniti, dan geopark.
Terdahulu beliau bersama-sama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria melancarkan Kalendar Acara Langkawi 2025 dan sambutan tahun baharu 2024.
Katanya, salah satu acara utama ialah Sidang Kemuncak ASEAN 2025 yang berlangsung pada 18 hingga 19 Januari ini.
Majlis pelancaran kalendar diserikan dengan persembahan bunga api lima minit yang menarik perhatian kira-kira 2,000 pengunjung.
Maklumat lanjut Kalendar Acara Langkawi 2025 boleh diakses di laman sesawang naturallylangkawi.my.