fb fb fb fb fb

Purata suhu dijangka mencecah hingga 37 darjah Celsius - METMalaysia

Gambar hiasan

PUTRAJAYA, 12 Jun - Beberapa kawasan di utara dan pedalaman Semenanjung Malaysia dijangka mengalami suhu mencecah hingga 37 darjah Celsius pada musim Monsun Barat Daya (MBD) yang sedang melanda negara sehingga September ini, susulan kawasan berkenaan lebih terdedah kepada sinaran matahari .

Jelas Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Ambung Dindang, lokasi berkenaan diramal mencapai suhu tertinggi sekitar Julai dan Ogos nanti.

"Lain tempat, lain purata dia punya suhu. Jadi ia bergantung mengikut kawasan, terutamanya kalau kawasan pedalaman dan juga di utara negara dia akan lebih tinggi sedikit.

Secara umum kita boleh lihat musim MBD ini di pedalaman lebih panas kerana ia lembab dan sinaran matahari itu lebih diserap," katanya pada sesi Taklimat Media Persediaan Menghadapi MBD 2025 di sini, hari ini.

Namun, setakat ini MetMalaysia menjangkakan keadaan cuaca semasa masih terkawal dan tidak ekstrem.

Tambah beliau, walaupun tiada perancangan untuk kawalan pergerakan ketika cuaca panas, MetMalaysia akan terus memantau keadaan dan mengeluarkan amaran suhu panas mengikut tahap jika perlu.

Dalam pada itu, suhu tertinggi negara pernah direkodkan di Chuping, Perlis pada 10 April 1998 dengan bacaan 40.1 darjah Celsius semasa fenomena El NiƱo.

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM