fb fb fb fb fb

Punca sebenar kemalangan maut akibat terbakar dalam siasatan

(Kemalangan menyebabkan dua individu maut akibat terbakar di Kilometer 45.7 Lebuhraya Plus
Utara Selatan Arah Selatan, Kulai, Johor malam tadi)

KULAI, 16 Oktober - Kemalangan hingga menyebabkan dua individu maut akibat terbakar di Kilometer 45.7 Lebuhraya Plus Utara Selatan Arah Selatan, Kulai, Johor kira-kira pukul 7.47 malam semalam, disyaki berlaku apabila sebuah lori dari arah Air Hitam ke Johor Bahru menukar ke lorong kiri kerana kesesakan jalan raya.

Pemandu kereta pertama dari arah sama mengelak, namun gagal dan melanggar lori berkenaan.

Menerusi satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow memaklumkan kereta kedua juga cuba mengelak, lalu melanggar kereta pertama dan berpusing, sebelum dilanggar kereta ketiga.

Kereta kedua dan ketiga kemudian dirempuh sebuah lori lain dan pelanggaran menyebabkan kebakaran.

Penumpang kereta kedua, Nurul Nazihah Kamalul Arifin, 28 tahun dan pemandu kereta ketiga yang masih belum dikenal pasti identiti terbakar dan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di badan dan kepala.


(Kemalangan menyebabkan dua individu maut akibat terbakar di Kilometer 45.7 Lebuhraya Plus
Utara Selatan Arah Selatan, Kulai, Johor malam tadi)

Manakala empat individu lain selamat dan cedera ringan.

Setakat ini tiada tangkapan dibuat namun siasatan masih berjalan.

Semua kenderaan terlibat akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) Senai, manakala pihak berkuasa masih berusaha mengesan nombor casis dan nombor enjin kereta ketiga.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Media Baharu