TAIPING, 25 Oktober - Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Mohd Nasir Ismail menasihatkan penduduk di daerah Larut Matang dan Selama (LMS) yang terkesan banjir supaya berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila diarahkan pihak berkuasa.
“Jangan bimbang untuk berpindah kerana pihak polis telah meningkatkan rondaan berkala bagi memastikan keselamatan harta benda penduduk terkesan banjir,” jelasnya.
Daerah itu mula dilanda banjir selepas hujan lebat berterusan sejak Khamis lalu.
ACP Mohd Nasir berkata, setakat hari ketiga banjir, tiada laporan kehilangan harta benda atau nyawa diterima.
Dalam pada itu beliau memaklumkan yang dua balai polis bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping terjejas akibat banjir yang melanda daerah LMS sejak Khamis lalu.
ACP Mohd Nasir berkata dua balai terbabit ialah Balai Polis Terong dan Balai Polis Simpang yang masing-masing dinaiki air.
"Kejadian turut menjejaskan 103 anggota polis dan ahli keluarga yang tinggal berhampiran dua balai berkenaan.
“Walaupun dua balai terjejas, namun operasi keselamatan dan tugas rondaan masih diteruskan. Anggota yang terlibat tetap menjalankan tanggungjawab membantu kerja menyelamat masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Terong, hari ini.
Beliau pada masa sama mengingatkan orang ramai tidak menularkan maklumat palsu atau spekulasi yang boleh menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat.