PERAK, 28 Oktober- Seorang lelaki maut selepas insiden pergaduhan berkaitan kes curi baja di Bagan Tiang, Tanjung Piandang pada Isnin. Punca kematian lelaki yang maut, akibat kecederaan tulang belulang dan jantung fibrosis.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri, berdasarkan bedah siasat, kecederaan tulang belulang dialami mangsa berusia 47 tahun itu berpunca akibat hentakan objek tumpul dan keras seperti batu, kayu atau besi.
(Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri)
"Kecederaan tulang belulang berpunca daripada hentakan suatu objek tumpul dan keras seperti kayu batu dan besi dan hasil pemeriksaan bedah siasat juga mendapati arteri koronari kiri mangsa tersumbat akibat atherosklerosis yang hanya mempunyai bukaan sebesar lubang pin pada lumennya," katanya ketika ditemui pada program pelupusan barang kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Polis, sedang melengkapkan siasatan kes berkenaan di mana suspek tersebut telah pun ditahan reman tujuh hari hingga Isnin depan.
Susulan itu, polis menahan suspek berusia 40 tahun di sebuah rumah yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.