fb fb fb fb fb

Pulihkan Tasik Chini, kerajaan negeri perlu bertindak lebih agresif- Tengku Hassanal

(Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan
Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah)

PEKAN, 1 Ogos- Kerajaan negeri Pahang perlu bertindak lebih agresif bagi memastikan Tasik Chini dapat segera dipulihkan.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah tujuannya bagi memastikan fungsi semula jadi Tasik Chini sebagai biosfera kekal lestari dan memanfaatkan penduduk sekitar.

Tengku Hassanal turut menyokong langkah kerajaan negeri melaksanakan moratorium di kawasan tasik berkenaan.

"Justeru, saya bertitah, pajakan lombong yang telah tamat tempoh hendaklah ditamatkan dan kawasan tersebut perlu dihijaukan semula dalam masa yang terdekat," titah baginda.

Tambah baginda, usaha pemulihan Tasik Chini menuntut kerjasama semua pihak termasuk pelombong dan pelesen, bukan kerajaan negeri semata-mata, selain penguatkuasaan yang juga perlu diperketatkan.

Baginda bertitah demikian ketika Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Dan Pingat-Pingat Negeri Pahang kepada 99 individu di Balirung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan.

Ia sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Yang Ke-63.


(Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Dan Pingat-Pingat Negeri Pahang di Balirung Seri,
Istana Abu Bakar, Pekan)

Mendahului senarai penerima, adalah Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lokman Hakim Ali.

Beliau antara sembilan individu dikurnia darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP), membawa gelaran Dato’ Seri.

Pengurniaan Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) membawa gelaran Dato’ Indera pula membabitkan empat penerima termasuk Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) , Puan Seri Maslina Ismail.

Selain itu, seramai 13 penerima lain, dikurnia Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) membawa gelaran Dato'.

Sementara itu, penyanyi era 80-an, Francisca Peter dan Siti Fairuz bersama 24 individu lain, dikurnia Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP), membawa gelaran Dato’.

Darjah Setia Ahmad Shah Pahang (SAP) pula dikurnia kepada dua penerima, darjah Setia Mahkota Pahang (SMP) kepada enam penerima, darjah Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) kepada empat penerima dan darjah Ahli Mahkota Pahang (AMP) kepada 10 penerima.

Pingat turut dikurnia kepada lapan penerima Pingat Khidmat Cemerlang (PKC), 10 penerima Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) dan 9 penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK).

Media Baharu