fb fb fb fb fb

DUN Selangor bertafakur hormati pemergian Tan Sri Abdul Khalid

(Amirudin Shari/BERNAMA)

SHAH ALAM, 1 Ogos- Dewan Undangan Negeri Selangor bertafakur selama seminit bagi menghormati pemergian Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang meninggal dunia, malam tadi.

Menteri Besar Selangor, Dato Seri Amirudin Shari mewakili semua wakil rakyat mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mengusulkan sidang dewan negeri ditangguhkan sehingga pukul 2.30 petang.

Menurut Amirudin, ia bagi memberi ruang bagi menziarahi Allahyarham di Masjid Negeri Shah Alam dan menghadiri pengebumian di Makam Di Raja Shah Alam.

"Sebagai menghargai jasa beliau yang telah ditumpahkan di dalam dewan negeri ini dan negeri Selangor selama dua penggal dan menjadi Menteri Besar Selangor dengan menyelaraskan beberapa program yang telah memberi impak kepada rakyat daripada dulu hingga kini.

"Antaranya penyusunan dan pembentukan merakyatkan ekonomi yang sekarang dikenali sebagai Iltizam Selangor Penyayang, pembentukan serta idea untuk membangunkan pesisir kawasan sungai Klang dan juga pembentukan serta pengukuhan MDI sebagai sebuah institusi yang berdaya saing.

"Saya dengan ini memohon sebagai mana mengikut peraturan 26 (C) dan peraturan tetap Dewan Negeri Selangor hendaklah ditangguhkan sehingga jam 2.30 petang bagi memberikan peluang kepada majlis pengkebumian Allahyarham Abdul Khalid dan memberi peluang kepada ahli-ahli dewan khususnya untuk melakukan ziarah kematian tersebut," katanya.

(Amirudin Shari (kanan) bersama Ahli Dewan Negeri bertafakur dan memberi penghormatan terakhir kepada
bekas Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang meninggal dunia, malam tadi/BERNAMA)

Allahyarham Abdul Khalid meninggal dunia pukul 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur akibat jangkitan pada injap jantung.

Atas titah dan limpah kurnia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, jenazah disemadikan di Makam Diraja Shah Alam, Seksyen 5, Shah Alam.

Media Baharu