fb fb fb fb fb

Tarif air Pulau Pinang masih antara terendah di Malaysia

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (TENGAH) dan Zairil Khir Johari (KIRI) pada sidang media

GEORGE TOWN, 18 Januari- Kadar tarif air domestik di Pulau Pinang bakal naik dua kali ganda seiring pengumuman pelarasan tarif air oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), semalam.

Ini memandangkan kadar semasa di negeri itu antara yang paling rendah di Malaysia.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, bagi penggunaan domestik sehingga 20,000 liter pertama, kadar baharu ditetapkan pada harga RM0.55, manakala penggunaan antara 20,001 liter sehingga 35,000 liter (RM1.10); melebihi 35,000 liter (RM2.20) dengan caj minimum adalah sebanyak RM5.50 sebulan.

“Kadar tarif sedia ada adalah RM0.22; bagi penggunaan 20,000 liter pertama, penggunaan 20,001 sehingga 40,000 liter (RM0.46); 40,001 hingga 60,000 liter (RM0.68) dan dikenakan surcaj penjimatan bagi penggunaan melebihi 35,000 sebulan sebanyak RM0.48 dengan caj minimum adalah RM2.50.

“Menusi kadar baharu, tiada lagi surcaj penjimatan tetapi pengguna perlu membayar Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT), yang membolehkan kos bahan api diselaraskan bagi semua kategori iaitu RM0.07 setiap 1,000 liter penggunaan air sebagaimana diperuntukkan oleh SPAN,”katanya dalam sidang media.

Jelas Zairil, menerusi pelarasan kadar tarif baharu berkenaan, sebanyak 77 peratus pengguna air di negeri tersebut akan membayar bil kurang daripada RM10.85 sebulan.

Sementara itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow memaklumkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menanggung subsidi berjumlah RM503 juta antara tempoh 2019 sehingga 2023 bagi menampung kos operasi dan keperluan menaik taraf infrastruktur sebagai jaminan pembekalan air kepada 595,579 pengguna air domestik.

Beliau berkata meskipun Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan pelaksanaan pelarasan kadar tarif baru berkuat kuasa 1 Februari ini, namun PBAPP masih perlu menanggung subsidi kepada pengguna yang dianggarkan berjumlah RM78 juta setahun.

Katanya, pelaksanaan pelarasan kadar tarif baru itu secara tidak langsung dapat membantu PBAPP melaksanakan projek-projek infrastruktur air sekali gus mampu menjamin perkhidmatan bekalan air yang lebih baik untuk rakyat di negeri ini.

“Pelarasan kadar tarif air di Pulau Pinang tidak dilaksanakan sejak tahun 1993 atau dalam erti kata lain, kita telah mengekalkan tarif lama sejak 31 tahun lalu bagi jalur terendah penggunaan air.

“Penangguhan itu sekali gus menyebabkan pelaksanaan projek-projek infrastruktur baharu termasuk penggantian paip-paip usang turut tertangguh,"jelasnya.

Semalam, SPAN memaklumkan, kadar tarif air akan dinaikkan kepada 22 sen bagi setiap meter padu mulai 1 Februari untuk pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

SPAN menjelaskan pelarasan tarif baharu itu dilaksanakan mengikut Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi pengguna kategori domestik untuk menjamin pembekalan air secara berterusan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE