KOTA BHARU, 18 Januari- Seorang kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) ditemukan meninggal dunia di dalam keretanya di hadapan sebuah kedai makan di Wakaf Stan dekat Kubang Kerian, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud menerusi satu kenyataan memaklumkan, laporan berkaitan seorang lelaki tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta jenis Honda City diterima kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kenderaan dipandu oleh lelaki yang berusia berusia 48 tahun ke tempat kejadian untuk bersarapan.
"Lelaki itu didapati telah meninggal dunia dalam kenderaan seorang diri setelah selesai sarapan pagi di kedai makan berkenaan dan kejadian tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.
"Hasil pemeriksaan di dalam kereta si mati juga tidak menemukan sebarang kesan jenayah dan tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang," katanya dalam kenyataan tersebut.
Mohd Rosdi berkata mayat dibawa ke Unit Forensik, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk tujuan bedah siasat.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Pihak polis memohon mana-mana individu yang melihat kejadian agar tampil ke balai polis bagi membantu siasatan.
Polis mengingatkan agar tiada mana-mana individu membuat sebarang spekulasi berhubung dengan kejadian ini demi menghormati privasi keluarga si mati,” katanya.