(FOTO FB PBAPP PENANG)
GEORGE TOWN, 14 Mei - Penduduk di beberapa kawasan sekitar negeri Pulau Pinang dijangka akan mengalami gangguan bekalan air bermula hari ini sehingga Rabu.
Ia berikutan pengeluaran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua tidak dapat beroperasi secara penuh disebabkan penurunan secara mendadak paras air di Sungai Muda, pagi tadi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menerusi laman Facebook, LRA tersebut tidak mampu beroperasi pada tahap 100 peratus untuk menghasilkan air kira-kira 1,000 juta liter sehari (JLH).
Jelasnya, pemulihan penuh bekalan air di negeri itu bergantung kepada status pemulihan paras air di Sungai Muda, Muka Sauk Lahar Tiang.
(Foto FB PBAPP Penang)
Difahamkan, LRA Sungai Dua mengeluarkan kira-kira 80 peratus daripada air terawat yang dibekalkan kepada PBAPP.
Bagaimanapun berikutan pelaksanaan pelan awal kontigensi PBAPP, loji tersebut kini hanya beroperasi pada tahap 60 ke 65 peratus sahaja.
Justeru, penduduk sekitar Seberang Perai Utara, Seberang Perai Selatan,Seberang Perai Tengah dan Kawasan Selatan Pulau Pinang dinasihatkan untuk menyimpan air yang mencukupi.