GEORGE TOWN, 21 Februari - Keputusan pengoperasian bazar Ramadan di negeri ini dijangka dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan COVID-19 peringkat negeri minggu depan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata kerajaan setakat ini belum memutuskan mengenai pengoperasian bazar Ramadan tersebut.
Pihaknya akan melihat pembentangan situasi semasa COVID-19 dalam mesyuarat itu sebelum membuat sebarang keputusan.
"Semua keputusan akan tertakluk kepada situasi semasa walaupun penganjurannya sudah dibenarkan kerajaan pusat," katanya di Kompleks Tun Abdul Razak Komtar, di sini hari ini.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan memperketatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) susulan kes jangkitan COVID-19 melonjak di Pulau Pinang, Kon Yeow berkata pihaknya akan memaklumkan sebarang perubahan SOP minggu depan.
"Isu SOP ini turut akan dibincangkan dalam mesyuarat sama berkaitan operasi bazar Ramadan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan selepas mesyuarat itu," katanya.