KUALA LUMPUR, 21 Februari - Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sekali lagi membuat lawatan mengejut ke fasiliti kesihatan, kali ini di Klinik Kesihatan Seksyen 19, Shah Alam.
Khairy yang tiba pada pukul 10.00 pagi dilihat meluangkan masa selama kira-kira satu jam meninjau keadaan sekitar klinik.
Ini termasuk ke kaunter pendaftaran pesakit dan Klinik Pergigian yang terdapat di klinik berkenaan sambil bertanya khabar dengan pengunjung dan pesakit yang sedang mendapatkan rawatan.
Dalam lawatan itu, Khairy turut melihat kelengkapan di klinik dan kesan banjir yang berlaku baru-baru ini. Perbincangan turut dilakukan dengan kakitangan mengenai penambahbaikan fasiliti serta alatan perubatan yang perlu susulan musibah itu.
Beliau juga dilihat meluangkan masa bertanya khabar dan persiapan para petugas mengenai cabaran kerja, sama ada berkaitan COVID-19 mahupun isu kesihatan yang lain.