fb fb fb fb fb

PDRM wujudkan tabung makanan bantu masyarakat Orang Asli terjejas ancaman harimau belang

GUA MUSANG, 21 Februari - Polis Di Raja Malaysia (PDRM) menerusi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, Kelantan, mengambil inisiatif mewujudkan tabung makanan bagi membantu masyarakat Orang Asli di tiga buah pos penempatan di Gua Musang yang terjejas dengan ancaman harimau belang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, lebih 2,000 bungkusan makanan asas berjaya dikumpul dan sebahagiannya telah disalurkan kepada penduduk Orang Asli di Pos Bihai, Pos Balar dan Pos Belatim.

Menurutnya, bekalan makanan asas itu disumbangkan oleh 10 buah syarikat termasuklah badan bukan kerajaan (NGO) tempatan.

"Orang Asli ini mereka tak boleh keluar bersendirian mencari pendapatan seperti biasa, selagi masalah yang mereka hadapi belum selesai, jadi dengan adanya kerjasama hari ini, telah menyumbang kepada makanan asas yang akan disampaikan oleh Ketua Polis Daerah (OCPD) Gua Musang dan anggota lain bagi tujuan meringankan beban yang mereka tanggung.

Saya percaya sumbangan yang ada hari ini memberi kekuatan dan semangat kepada Orang Asli untuk meneruskan kehidupan seharian, pihak agensi kerajaan sedang berusaha untuk menangani isu (yang dihadapi) mereka," katanya selepas merasmikan tabung makanan di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang, di sini.

Antara pihak yang memberikan sumbangan adalah MR D.I.Y Group (M) Berhad, AEON Malaysia, Lotuss Stores Malaysia dan Malaysian Relief Agency.

Sejak lebih dua bulan lalu, penduduk Orang Asli di tiga pos itu masih diselubungi ketakutan kerana bimbang diserang harimau belang yang dikesan masih berlegar di kawasan sekitar.

Pada 7 Januari lalu, seorang Ielaki Orang Asli, Anek Along, 59 tahun ditemui maut selepas dipercayai dibaham seekor harimau belang di Kampung Sau, Pos Bihai.

Kejadian itu berlaku ketika sambutan perayaan menuai padi dan menangkap ikan sungai masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di kawasan itu.

 

Media Baharu