PUTRAJAYA, 21 Februari - Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) kini diperluaskan meliputi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), berikutan sambutan menggalakkan program itu di kawasan Parlimen.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia atas permintaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu rakyat pelbagai strata ekonomi di seluruh pelusuk negara turut mendapat manfaat daripada PJKM.
Menurut KPDNHEP, seramai 1.18 juta pengunjung telah membanjiri 775 lokasi PJKM dengan nilai jualan yang direkodkan melebihi RM22.85 juta ringgit hingga 14 Februari lepas.
PJKM dijalankan setiap minggu secara serentak di kawasan Parlimen dan lokasinya berdekatan dengan golongan sasar iaitu B40 dan M40.
Program jualan itu menawarkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga berpatutan seperti ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras dan barangan keperluan rumah terpilih.
"Maklum balas pengguna yang diterima rata-rata menyambut baik dan meminta PJKM ini dilaksanakan secara berkala dan mengakui bahawa harga barang-barang yang dijual dapat meringankan bebanan kos sara hidup rakyat dalam situasi harga barang yang dilaporkan kian meningkat," menurut KPDNHEP.