PUTRAJAYA, 21 Februari - Seramai 136 pelajar dari empat Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di sini hari ini menerima peralatan terapi dan pelbagai bantuan bernilai RM72,000.
Ia disumbangkan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Perbadanan Putrajaya (PPJ) dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menerusi Program Semarak Kasih.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata sumbangan adalah untuk kegunaan kelas praterapi, pravokasional dan fisioterapi.
"Sumbangan ini berupaya meningkatkan potensi latihan anak-anak Orang Kurang Upaya (OKU) PPDK. Inisiatif menyantuni dan membantu anak-anak istimewa ini melalui program Semarak Kasih bertujuan memastikan kebajikan mereka dalam keadaan baik," katanya selepas menyampaikan sumbangan berkenaan di sini.
Shahidan dalam pada itu menyeru syarikat swasta, badan NGO serta individu untuk bersama menyumbang kepada pusat pemulihan OKU sebagai tanggungjawap sosial.