fb fb fb fb fb

Hubungan dua hala KL-Tashkent terus utuh pada ulang tahun ke-30



KUALA LUMPUR, 21 Februari - Hari ini merupakan ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Republik Uzbekistan.

Menjengah usia tiga dekad, hubungan dua hala Kuala Lumpur - Tashkent terus mekar dengan kerjasama utuh dijalinkan dalam pelbagai bidang.

Antaranya perdagangan, pelaburan, pelancongan, pendidikan serta kebudayaan.

Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, Ravshan Usmanov menyeru lebih ramai pemain segenap industri dari Malaysia untuk meneroka peluang kerjasama dalam bidang baharu, sekali gus memanfaatkan kedudukan strategiknya sebagai pintu masuk utama ke pasaran rantau Asia Tengah.

"Kebelakangan ini, jumlah syarikat dan pelabur Malaysia telah meningkat di Uzbekistan dengan jumlah terkini adalah 31, ia bukti kerjasama utuh kedua-dua negara dalam bidang perniagaan.

"Kebanyakan syarikat Malaysia terlibat dalam industri kimia, tekstil, perabot, elektrikal, perkhidmatan kewangan dan pelancongan," katanya ketika ditemu bual secara eksklusif oleh Berita RTM, di sini.

Hubungan diplomatik Kuala Lumpur - Tashkent termeterai secara rasmi pada tarikh 21 Februari 1992.

Bagi memperingati ulang tahun itu juga, satu majlis dijadual berlangsung pertengahan tahun ini dengan kerjasama Wisma Putra.

Selain Uzbekistan, Malaysia juga menyambut ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik dengan Kazakhstan, Kyrgyztan, Tajikistan, dan Turkmenistan.

Malaysia merupakan negara pertama dari rantau Asia Tenggara yang mengiktiraf kemerdekaan negara bekas Soviet itu pada tahun 1992.

 

Media Baharu