fb fb fb fb fb

Tujuh bot nelayan jual diesel kepada bot asing di perairan negara ditahan - KPDNHEP

TUMPAT, 21 Februari - Sebanyak 24,800 liter minyak diesel bernilai lebih RM45,000 dirampas dalam tujuh buah bot nelayan dipercayai untuk dijual kepada nelayan asing di perairan Sungai Geting, Kuala Takbhai malam tadi.

Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Kelantan, Azanizam Affendi Juri, semua minyak diesel itu disorok dalam tong menyimpan ikan yang diubahsuai menjadi tangki tambahan.

Katanya, rampasan itu dilakukan oleh pihaknya bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor pada pukul 7.30 malam tadi.

Sebanyak tujuh bot nelayan kelas A melalui Markas Operasi PPM dan pihaknya bertindak menahan kesemua bot itu untuk melakukan pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan dalam bot berkenaan membawa kepada penemuan sebanyak 24,800 liter minyak diesel.

"Hasil daripada siasatan awal kita mendapati minyak diesel ini akan dijual kepada nelayan warga asing di perairan kerana kapasiti sebenar untuk bot-bot nelayan sekitar 1,000 liter sahaja, namun hasil pemeriksaan mendapati simpanan 3,000 hingga 6,000 liter kapasiti sebuah bot yang disita dalam kejadian semalam," katanya kepada pemberita dalam sidang media di jeti markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, di sini.

Turut disita 7 buah bot bernilai RM1.25 juta.

Jelas Azanizam, semua tujuh kru kapal yang juga warga tempatan mengakui membawa minyak diesel itu secara tidak sah untuk dijual kepada bot nelayan warga asing di perairan negara.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali bagi individu serta RM2 juta untuk perbadanan.

Dalam perkembangan lain, Azanizam turut memaklumkan sebanyak 440 liter minyak petrol dan 799 kilogram minyak masak dengan anggaran nilai masing-masing sebanyak RM902 dan RM1,997.50 dirampas dalam dua rampasan.

Kedua barangan itu dipercayai untuk diseludup ke Thailand dan rampasan dilakukan di Kampung Bunohan serta Simpangan dalam operasi yang dijalankan KPDNHEP bersama Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) pada pukul 8 malam dan 12 tengah malam tadi.

Dua jenis barangan itu ditemui dalam dua kenderaan manakala pemandunya berjaya melarikan diri dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

 

Media Baharu