PULAU PINANG, 29 April – Pulau Pinang bakal menjadi peneraju dalam penggunaan teknologi masa depan negara berikutan ekosistem kukuh dan lengkap yang dimiliki negeri itu.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, kekuatan utama Pulau Pinang ialah keupayaannya dalam membina ekosistem semikonduktor yang menjadikannya layak digelar sebagai “Silicon Valley of the East”.
Menurut beliau, pelaburan dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) juga merupakan fokus baharu yang sedang diberi perhatian dalam landskap pelaburan digital negara.
“Apabila kita bercakap mengenai pelaburan ke Malaysia, khususnya ke Pulau Pinang, pelabur akan melihat kepada ekosistem yang tersedia, infrastruktur bertaraf dunia serta kesediaan kerajaan untuk memastikan teknologi baharu dapat diterima dan dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan pejabat zon utara Kementerian Digital di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo.
Gobind turut berkata, kemajuan dalam bidang AI kini menuntut kerjasama merentas sektor, terutamanya dalam aspek pengurusan dan perkongsian data.
Selain menumpukan kepada sektor semikonduktor dan automasi, kerajaan juga memberi perhatian kepada pembangunan bakat digital tempatan bagi memastikan kesinambungan pertumbuhan industri.
Pulau Pinang yang dikenali sejak era 1970-an sebagai zon perindustrian bebas, kini menjadi lokasi strategik kepada syarikat teknologi global seperti Intel, AMD dan Lam Research.
Dengan segala kelebihan yang dimiliki, Pulau Pinang kekal di landasan sebagai antara pemacu utama ekonomi digital negara menjelang tahun 2030.