fb fb fb fb fb

Melaka peruntuk RM8 juta baik pulih 13 klinik daif

RM8 juta diperuntukkan bagi membaik pulih 13 klinik daif di negeri tersebut / Foto BERNAMA

AYER KEROH, 29 April – Kerajaan Negeri Melaka memperuntukkan sebanyak RM8 juta bagi membaik pulih 13 klinik kesihatan daif di negeri ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, peruntukan tersebut termasuklah bagi kerja-kerja membaik pulih tandas dan bangunan klinik mengikut permohonan yang diterima.

"Untuk kerja-kerja naik taraf ini, kita mendapat peruntukan sebanyak RM8 juta melibatkan 13 klinik kesihatan daif.

"Klinik yang terlibat ialah Klinik Kesihatan Bukit Rambai, Cheng, Tengkera, Bukit Piatu, Masjid Tanah, Padang Sebang, Kuala Sungai Baru, Rembia, Klinik Desa Pegoh, Klinik Desa Kampung Pulau, Klinik Kesihatan Jasin, Klinik Kesihatan Merlimau, dan Klinik Kesihatan Sungai Rambai," katanya di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa peruntukan untuk membina Klinik Kesihatan Sungai Rambai yang baharu sebanyak RM43 juta telah diluluskan.

Lawatan tapak bagi projek berkenaan juga telah dilaksanakan, manakala tender projek dijangka dibuka pada awal tahun hadapan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD