fb fb fb fb fb

'Beras Melaka' dilancar, produk BPT pertama Melaka

Foto FB Ab Rauf Yusoh

AYER KEROH, 29 April- Melaka melancarkan sejumlah 4,000 kampit beras Melaka seberat 10 kilogram (kg) untuk fasa pertama.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ia turut mendapat kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka sebagai agensi pengedaran.

Beliau berkata beras putih tempatan (BPT) keluaran Melaka itu telah mula dijual pada 26 April lalu dengan harga RM26 per kampit.

Produk tersebut boleh didapati di enam lokasi pasar tani seluruh Melaka iaitu Alor Gajah, Masjid Tanah, Lubok Cina, Merlimau, Jasin dan Selandar.

"Di kedai-kedai AgroBazaar dan kedai rakyat. Ada 28 buah AgroBazaar, cawangan rasmi FAMA Melaka Daerah Alor Gajah ada tujuh, Jasin ada 10, Melaka Tengah ada 11.

Selain itu, program Jualan Agro MADANI, jualan murah agro makanan kendalian FAMA disasarkan di kawasan orang ramai seperti DUN dan Parlimen. Kita juga akan buatkan pemasaran semasa program 'Wakil Rakyat Untuk Rakyat'," kata Ab Rauf kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui selepas Majlis Pelancaran Beras Melaka di Seri Negeri, di sini.

Dalam pada itu, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh berkata ia turut mendapat kerjasama daripada Kilang Beras E-Mum (55) Melaka Sdn. Bhd.

"Fasa pertama, semua rakyat negeri Melaka boleh pergi ke AgroBazaar ataupun pasar tani cari beras yang dibungkus oleh E-Mum, yang jenamanya Mentari ini adalah salah satu kita punya produk beras Melaka," jelas Dr. Muhammad Akmal kepada pemberita, hari ini.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM