fb fb fb fb fb

MB Pahang terima Ijazah Kehormat PhD Ekonomi Islam dan Perbankan dari Universiti Yarmouk

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

JORDAN, 29 April - Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerima penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Ekonomi Islam dan Perbankan dari Universiti Yarmouk, Jordan.

Anugerah yang disampaikan Presiden Universiti Yarmouk, Profesor Dr Islam Massad itu, sebagai pengiktirafan terhadap kerjasama strategik antara kerajaan negeri Pahang dan universiti tersebut.

Menurut Wan Rosdy, pengiktirafan tersebut melambangkan hubungan erat yang sedia terjalin sejak 2001 menerusi Memorandum Persefahaman MoU antara Kolej Yayasan Pahang dan Universiti Yarmouk bagi menghantar anak-anak Pahang melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian Islam.

Hubungan itu terus diperkukuh dengan penubuhan Kursi Pahang di universiti berkenaan pada 2011 yang berperanan menjalankan penyelidikan dalam pelbagai bidang.

"Selepas 14 tahun, kerjasama dua hala ini ia terus diperkukuh lagi dengan majlis menandatangani memorandum persefahaman Kursi Pahang dengan Universiti Yarmouk pada hari ini. Hingga kini, saya difahamkan seramai 363 orang pelajar telah tamat pengajian dan dalam masa terdekat ada 78 pelajar yang akan menamatkan pengajian  mereka," kata Wan Rosdy dalam sesi sidang media selepas menerima penganugerahan PhD dalam bidang Ekonomi Islam dan Perbankan dari Universiti Yarmouk, di sini.

Wan Rosdy berharap hubungan tersebut akan terus berkembang dan dipertingkat; selain memberi peluang kepada lebih ramai anak Pahang melanjutkan pengajian di Universiti Yarmouk.

Sementara itu katanya, dalam sesi kunjung hormat ke atas Menteri Pengajian Tinggi dan Kajian Saintifik Jordan, Profesor Dr. Azmi Mahmoud Mahafzah, beliau turut mengutarakan hasrat untuk menghantar pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan.

Hasrat sama turut diajukan kepada Presiden Universiti Yarmouk. Justeru, beliau berharap cadangan itu akan didapat direalisasikan menerusi hubungan baik yang terjalin.

TETITIA YUSOFF