KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) beri tumpuan kepada penyediaan rumah mampu milik berkualiti tinggi secara adil dan bersepadu di seluruh Kuala Lumpur, termasuk di kawasan strategik dan bukan hanya di pinggir bandar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, pembangunan Kuala Lumpur adalah berpandukan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) yang telah diwartakan pada 19 Oktober 2023.
"Pelan ini mengunjurkan keperluan sebanyak 762,500 unit kediaman menjelang tahun 2040, seiring dengan unjuran populasi seramai 2.35 juta orang.
"Daripada jumlah tersebut, 40 peratus atau 305,000 unit telah ditetapkan sebagai rumah mampu milik, dan ini merupakan asas kepada keseimbangan sosial bandar yang Kerajaan tekankan," katanya ketika menjawab soalan lisan di Dewan Negara.
Menurut beliau, pelan itu seterusnya memperkenalkan beberapa langkah penting bagi memperkukuh agenda perumahan mampu milik.
Antaranya, Zon Kediaman R4 seluas 353.53 hektar, yang dikhususkan untuk pembangunan rumah mampu milik termasuk perumahan awam.
"Selain itu, pembangunan perumahan mampu milik juga disepadukan dalam zon berintensiti tinggi, perdagangan dan pembangunan bercampur.
"Pendekatan ini memastikan rumah mampu milik tidak hanya tertumpu di pinggir bandar, tetapi turut dibangunkan di lokasi strategik di pusat bandar Kuala Lumpur," jelas beliau.
PTKL2040 turut menetapkan beberapa strategi utama dalam memastikan keperluan rumah mampu milik dipenuhi.
Antaranya, pelaksanaan Lapisan Kawalan Perancangan Rumah Mampu Milik (RMM), iaitu kawalan khusus untuk memastikan pembangunan kediaman harga bebas turut menyediakan komponen rumah mampu milik.
Pada masa sama, memperkenal insentif nisbah plot bagi memberi galakan kepada pemaju swasta yang membangunkan projek bercampur dengan komponen RMM serta meneruskan program perumahan sedia ada seperti Residensi Wilayah, Residensi MADANI, PR1MA, PPAM dan SASaR, di samping penyediaan Perumahan Awam Sewa Bersubsidi (PASS) di lapan tapak yang telah dikenal pasti.