PUTRAJAYA, 28 Ogos - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi agensinya, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menawarkan pakej pengurangan fi cap dagangan sebanyak RM300 bermula 1 September depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif yang bakal berakhir pada 31 Disember itu menjadikan bayaran fi cap dagangan hanya RM650 bagi setiap permohonan berbanding sebelum ini iaitu RM950.
"Dalam kalangan entiti perniagaan di negara kita, khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), usaha memastikan daya saing dilaksanakan melalui kempen 'Lindungi Jenama Lokal, Tembusi Pasaran Global'," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan program selepas menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2025, peringkat KPDN di sini.
Pengurangan itu terbuka kepada individu serta entiti perniagaan termasuk persatuan dan pertubuhan yang mahu mendaftarkan jenama atau logo perniagaan masing-masing.
Setiap permohonan yang diluluskan akan mendapat perlindungan selama 10 tahun bawah undang-undang harta intelek.
Kira-kira 96.1 peratus daripada keseluruhan entiti perniagaan di negara ini adalah Perusahaan Mikro, Kecil & Sederhana (PMKS) dengan lebih 70 peratus daripadanya merupakan perusahaan mikro.
Sementara itu dalam majlis yang sama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memperkenalkan Bas Ezbiz On-The-Go 2.0 bagi memudahkan orang ramai mengakses perkhidmatan pendaftaran syarikat secara bergerak.
Bas baharu tersebut menampilkan reka bentuk kontemporari yang dilengkapi kaunter moden, kios layan diri dengan skrin sesentuh mudah alih serta ruang taklimat selesa. Ia didaftarkan dengan nombor khas 1604, simbolik tarikh penubuhan SSM pada 16 April 2002.
Selain agensi kerajaan, rakan strategik KPDN iaitu Shopee turut menawarkan Kempen Shopee Payung RM100 bermula 31 Ogos hingga 16 September ini.
Melalui kempen itu, pelanggan boleh mendapatkan baucar Shopee bernilai RM100 dengan hanya RM1.
Kempen itu turut disertakan tawaran penghantaran percuma sepanjang tempoh berkenaan dengan peruntukan RM10 juta yang dianggarkan memberi manfaat kepada 100,000 pengguna.