fb fb fb fb fb

PSM tawar rumput SNBJ secara percuma kepada orang ramai

(FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 31 Mac - Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menawarkan rumput padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) secara percuma kepada orang ramai, pagi tadi, susulan projek penaiktarafan padang stadium tersebut.

Sempena dengan kerja-kerja penggantian rumput padang SNBJ kelak, PSM menawarkan rumput sedia ada secara percuma kepada orang awam dan ia dibuka sehingga petang ini.

Rata-rata mereka yang hadir teruja dan gembira apabila menerima lebih kurang empat petak rumput padang berukuran 1x1 kaki bagi setiap orang.

"Kerana bagi peluang kepada orang ramailah untuk mendapatkan rumput secara percuma, kita datang nak ambil rumputlah untuk kita tanam di padang bolasepak milik pusat pemulihan, padang tu memang kita gunakan untuk aktiviti," kata Wan Donnie Wan Abdullah.

(Orang ramai mengambil rumput padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang dibuka kepada
pengunjung sehingga petang ini/ Foto BERNAMA)

"Kita nak letak dekat rumah lepas itu sebagai kenanganlah sebab stadium ini nak pakai rumput baharu, jadi ambil sikit sebagai 'souvenir' (cenderahati) untuk kita simpan," jelas Erik Tan.

SNBJ selepas ini bakal menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia dengan kos sebanyak RM2.3 juta yang dijadual bermula bulan depan dan dijangka siap awal Oktober.

Projek berkenaan menggunakan peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) serta sumbangan dana tajaan daripada Tunku Mahkota Johor (TMJ) merangkap pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Media Baharu