PUTRAJAYA, 27 September- Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) hari ini menghantar memorandum kepada Menteri Sumber Manusia Steven Sim bagi menggesa kerajaan menetapkan kadar gaji minimum pada RM2,000.
Memorandum itu diserahkan Timbalan Pengerusi PSM S. Arulchelvan dan Ketua Biro Pekerja PSM R Saratbabu Raman kepada wakil Sim di Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di sini hari ini.
Ketika ditemui Bernama, Saratbabu berharap KESUMA dapat meneliti setiap data yang dikemukakan dalam memorandum berkenaan dan memutuskan satu kadar gaji minimum yang baharu buat pekerja di negara ini.
“Kami tidak mahu gaji hanya ditingkatkan kepada RM1,700 sahaja kerana kos sara hidup meningkat dan perlu ada peningkatan yang munasabah untuk kita hidup sejahtera terutama golongan B40 dan M40,” katanya.
Sebelum ini, Sim dilaporkan berkata kerajaan akan mengkaji semula gaji minimum yang kali terakhir disemak pada Mei 2022 dengan kenaikan daripada RM1,200 kepada RM1,500.- BERNAMA